INDAHNYA MALAM LAILATULQADAR

RAMADAN adalah bulan yang sa­ngat istimewa berbanding bulan-bulan Islam lain kerana kelebihan yang dikurniakan oleh Allah S.W.T.

Bulan ini adalah bulan yang penuh de­ngan keberkatan daripada Allah SWT. Bulan yang di dalamnya ada satu malam yang cukup istimewa dan sangat ditunggu-tunggu oleh orang yang beriman iaitu Lailatulqadar.

Lailatulqadar disebut malam yang cukup istimewa kerana ia dinamakan sendiri oleh Allah SWT di dalam al-Quran dengan mengkhususkan satu surah yang dinamakan surah Al-Qadr. Firman Allah SWT yang bermaksud:”Sesungguhnya kami telah menurunkannya di malam Al-Qadr. Apakah kamu tahu apa itu malam Al-Qadr? Malam Al-Qadr adalah lebih baik daripada seribu malam. (Pada malam tersebut) para Malaikat dan Al-Rub (Malaikat Jibrail) turun padanya dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahte­ralah malam tersebut sehingga terbit fajar.” (Surah Al-Qadr : 1-5)

Para ulama berbeza pendapat bagi menentukan tarikh tepat Lailatulqadar. Namun mereka ber­sepakat bahawa Lailatulqadar berlaku pada bulan Ramadan iaitu pada 10 malam terakhir. 

Sudah tentu Allah SWT mempunyai sebab untuk menyembunyikan rahsia malam tersebut daripada pengetahuan manusia. Salah satu daripada sebabnya adalah untuk menggalakkan manusia bersungguh-sungguh beribadah sepanjang masa dalam bulan Ramadan tanpa mengira hari-hari tertentu dengan harapan agar dipertemukan dengan malam yang teragung iaitu Lailatulqadar.

Pada 10 malam terakhir ini, Rasulullah SAW akan meningkatkan amalan dengan berjaga malam, beriktikaf dan mengejutkan ahli keluarganya untuk bangun bersama-sama bagi menghidupkan malam-malam tersebut. 

Antara amalan yang boleh sama-sama kita lakukan di dalam bulan Ramadan bagi menghidupkan 10 malam terakhir adalah menghidupkan malam hari de­ngan solat malam iaitu solat sunat seperti tahajjud, taubat, hajat dan sebagainya. 

Juga memperba­nyakkan berzikir kepada Allah SWT dengan jumlah yang kita mampu. Selain itu, digalakkan supaya mengejutkan ahli keluarga untuk bersama-sama menghidupkan malam dengan amal ibadah. 

Mencari malam Al-Qadr ini bukan hanya dengan beribadah pada hari-hari tertentu sahaja tetapi hendaklah dilakukan amal ibadah itu secara istiqamah bermula dari malam pertama Ramadan agar kita kekal niat beribadah untuk mendapat keredhaan daripada Allah SWT. Pencarian malam yang teragung ini juga harus berlandaskan kepada niat ikhlas dan tidak hanya untuk mendapat pujian daripada manusia semata-mata.

Salah satu daripada keagu­ngan, keistimewaan dan kehebatan bulan Ramadan ialah wujudnya satu malam penuh kemuliaan yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu Lailatulqadar. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnya Ramadan sudah tiba kepada kamu, dalamnya ada malam di mana amal ibadah yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan 1,000 bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah SWT.”(Hadith Riwayat Ibnu Majah)

Beruntunglah kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW ke­rana memperoleh peluang sebesar ini dalam kehidupan kita. Dan rugilah pula bagi mereka yang sedikit pun tidak berusaha memanfaatkan kesempatan yang diberikan oleh Allah SWT di dalam bulan yang mulia ini.

Dipetik daripada video Ustaz Don, jika mendapatkan tanda-tanda malam Lailatul Qadar, berikut doa malam Lailatulaqadar yang hendaknya dipanjatkan.

“Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni.”

Ertinya: Ya Allah, Engkau Maha Pengampun, Engkau menyukai orang yang minta keampunan, maka ampunilah aku.

Semoga kita semua dapat menemui malam Lailatulqadar. 

error0
Tweet 20