HUTAN JADI ‘PORT’ LAMPIAS NAFSU

SEORANG bapa ayam berusia 35 tahun dan dua wanita berusia 40 dan 34 tahun ditahan sepasukan polis Daerah Iskandar Puteri atas kegiatan pelacuran.

Kegiatan tidak bermoral itu dilakukan di dalam kawasan hutan Kampung Pok Besar, Tanjung Kupang dengan beralaskan tikar sahaja, dipercayai aktif sejak sebulan yang lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketiga-tiga yang ditahan merupakan warganegara Indonesia.

“Berdasarkan siasatan, mereka telah menjalankan kegiatan itu sejak sebulan yang lalu dengan menyasarkan pekerja asing di kawasan berhampiran.

“Mereka beroperasi dari pukul 8 malam hingga 1 pagi dan mengenakan bayaran sebanyak RM50,” katanya .

Dalam serbuan itu, polis turut merampas dua gulung tisu, dua botol minyak disyaki minyak pelincir dan wang tunai berjumlah RM100.

Kes disiasat mengikut Seksyen 372 dan Seksyen 372(B) Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.