HINA NABI MUHAMMAD, SUSPEK DIREMAN HINGGA JUMAAT

SEORANG lelaki berusia 68 tahun direman selama tiga hari sehingga Jumaat ini selepas tular mengenai penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW dan isterinya, Saidatina Aisyah di media sosial.

Sebanyak 395 laporan polis telah diterima di seluruh negara dari pelbagai pihak yang terkesan dengan penghinaan terhadap Nabi Muhammad yang dilakukan oleh pengendali akaun Facebook yang menggunakan nama Foo Sing Wai.

Penghinaan dalam bentuk kartun itu memaparkan seorang lelaki dewasa yang ditulis dengan nama Muhammad dan seorang kanak-kanak enam tahun sebagai Aisyah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata suspek disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Malah suspek juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu salah guna kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

“Kita nasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahguna media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi.

“Jangan sesekali memuat naik atau berkongsi sebarang bentuk provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman sehingga membangkitkan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya.

error0