haziq abdullah

HAZIQ DITAMATKAN TUGAS DI KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA

HAZIQ Abdullah Abdul Aziz, individu yang mengaku sebagai salah seorang lelaki di dalam video intim bersama seorang menteri, ditamatkan perkhidmatannya sebagai Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Menerusi satu kenyataan, Kementerian Industri Utama berkata penamatan perkhidmatan itu berkuat kuasa 18 Jun lalu berikutan pengakuan Haziq sebagai individu yang dirakam dalam video seks yang turut dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet.

“Pihak kementerian memandang perkara ini sebagai satu pelanggaran nilai, etika dan Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Awam yang berkuat kuasa termasuk Perintah Am serta Perjanjian Kontrak.

“Sehubungan itu, kementerian mengambil langkah menamatkan kontrak perkhidmatan beliau berkuat kuasa pada 18 Jun 2019,” katanya.

Kementerian Industri Utama, dalam kenyataan sama menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perilaku yang menjejaskan reputasi dan imej kementerian.

“Berikutan penamatan ini, pihak kementerian tidak lagi mempunyai apa-apa kaitan dengan Haziq,” katanya.

Haziq dilantik sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama pada 13 Mei lalu dan dia kemudian menjawab surat tunjuk sebab susulan kes berkenaan pada 14 Jun lalu.

Surat tunjuk sebab dikeluarkan pada 12 Jun selepas Haziq membuat pengakuan sebagai individu yang dirakam dalam video seks yang viral di laman sosial.