GUNA BATU BATA BELASAH IBU KANDUNG

SEORANG wanita berusia 56 tahun mendedahkan dirinya menjadi mangsa dera anak perempuan sendiri.

Terbaru mangsa didakwa dihentak di kepalanya dengan menggunakan batu bata, selain muka ditumbuk dan dicekik sebelum bertindak melarikan diri dari rumahnya.

Kejadian tersebut berlaku di sebuah rumah di Kampung Padang Tengir, Manir, Kuala Terengganu pada Sabtu lalu, jam 12 tengah malam.

Sehubungan itu suspek yang berusia 30-an direman selama empat hari bermula Ahad.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu, Roszita Md Saad terhadap suspek berusia 30-an bagi membantu siasatan kes itu.

“Tidak cukup dengan itu, suspek juga mencekik dan menghentak kepala ibunya dengan batu bata yang sengaja diambil di luar rumah.

“Akibat kesakitan, mangsa nekad melarikan diri keluar dari rumah. Susulan perbuatan itu juga, mangsa mengalami kecederaan bengkak di muka, sakit di kepala dan leher,” demikian memetik sumber.

Mangsa juga memberitahu sebelum ini dirinya sering dipukul oleh anaknya menggunakan besi, kayu dan apa sahaja barangan yang ada berhampirannya tanpa sebarang sebab.

Wanita itu turut memaklumkan dua cucunya yang masih kecil menjadi mangsa wanita berkenaan.

Menurutnya, tidak tahan dipukul serta risau akan keselamatan diri dan dua cucunya pada masa akan datang, mangsa nekad membuat laporan polis pada Sabtu.

Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2012 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

error0