GESA TINDAKAN TEGAS TERHADAP INDIVIDU HINA YDPA – MB PAHANG

SUSULAN tindakan biadap seorang pengguna akaun Facebook bernama ‘Desmond Yongkor’ terhadap Yang di-Pertuan Agong, Khamis lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan.

Ujarnya, kerajaan negeri memandang serius penghinaan yang dilakukan ketika istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan Al-Sultan Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong kerana melambangkan pengkhianatan terhadap kedaulatan institusi Raja-raja.

Kerajaan Negeri mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera kepada si pelaku sebagai tindak balas terhadap beberapa laporan polis yang telah dibuat.

 “Dalam hal ini, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) diharap dapat turut membantu menjejaki pemilik akaun Facebook berkenaan serta menggunakan apa juga kuasa yang ada padanya untuk menghukum sipelaku.

“Untuk jangka panjang pula, Kerajaan Negeri mencadangkan undang-undang khusus dan lebih berat sepertimana undang-undang Les Majeste di Thailand, mula dibincang secara serius untuk akhirnya diperkenalkan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Semalam, kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jabatan kerajaan dan parti politik di negeri ini membuat laporan polis berhubung tindakan seorang pengguna laman sosial Facebook yang didakwa menghina Al-Sultan Abdullah.

Antara yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan itu adalah Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Negeri Pahang, Pertubuhan Ikatan Amal Islami Negeri Pahang, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Negeri Pahang, Pejabat Agama Daerah Kuantan dan UMNO Bahagian Kuantan.

error0