GENTING BELI EQUANIMITY RM514.4 JUTA

KAPAL layar yang dimiliki ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low berjaya dijual pada hari ini kepada Genting Malaysia Berhad dengan harga RM514.4 juta atau AS$126 juta.

Pembelian itu disahkan oleh Ahli Lembaga Peguan Negara.

“Harga jualan bernilai AS$126 juta itu akan dibayar pada penghujung bulan hadapan.

“Penjualan itu juga menjadi tanda aras tahap pemulihan tertinggi berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dapat diselesaikan dalam jangka masa lapan bulan sejak tindakan ke atas kapal itu diambil,” demikian memetik kenyataan seperti yang dilaporkan The Star Online.

Kapal layar penuh kontroversi itu dirampas pihak berkuasa Malaysia pada 7 Ogos dan mula dilelongkan sejak 29 Oktober dalam usaha kerajaan mengembalikan wang yang dilesapkan dalam skandal 1MDB.

Sejak itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pada 21 November, kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM3.5 juta untuk menyelenggara kapal mewah yang lengkap dengan tempat mandian Turki, pad pendaratan helikopter dan pernah menjadi tempat berparti para selebriti terkenal.

Low, yang didakwa sebagai ‘arkitek’ di sebalik skandal berprofil tinggi itu, dikatakan membeli kapal tersebut dengan harga USD250 juta (kira-kira RM1 bilion) menggunakan wang yang diselewengkan daripada syarikat pelaburan strategik itu.

Pemilikan kapal itu sebelum ini dituntut pemiliknya, Equanimity Cayman Ltd, yang mendakwa rampasan oleh kerajaan Malaysia ‘melanggar keputusan mahkamah Indonesia dan arahan mahkamah Amerika Syarikat.’

Bagaimanapun pada 19 Oktober, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kerajaan Malaysia dan 1MDB sebagai pewaris apabila Equanimity Cayman Ltd gagal tampil ke mahkamah.