(GAMBAR) IBU KOMA 183 HARI SEMAKIN PULIH, GEMBIRA JUMPA ANAK PERTAMA KALI

KEADAAN seorang ibu yang koma selepas melahirkan anak akibat komplikasi pada November lalu semakin pulih selepas berjumpa dengan bayi lelakinya buat pertama kali pada semalam.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr.  Selasawati Ghazali yang memaklumkan pertemuan antara Norfadilla Che Par, 28 dan anaknya, Muhamad Syahmi Mohd. Saiful sebagai salah satu proses terapi dan rehabilitasi.

Wanita itu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

“Sepanjang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), dia mendapat sokongan yang begitu kuat dari suami dan keluarga, malah setiap kali suaminya datang melawat, suaminya sentiasa menceritakan perkembangan anaknya serta menunjukkan gambar-gambar anaknya.

“Selain itu, gambar anaknya juga dilekatkan di dinding bilik ICU bagi memberi semangat kepadanya untuk bangkit kerana anaknya sedang menunggunya.

“Anaknya itu memberi semangat kepadanya dan sebab itulah buat pertama kalinya kita bawa dia untuk berjumpa anaknya secara terbuka,” demikian memetik laporan kosmo! hari ini.

Norfadilla terlebih dahulu dilaporkan koma selama 138 hari selepas mengalami komplikasi semasa bersalin. Dia dibedah untuk melahirkan anaknya namun dirinya mengalami tekanan darah rendah, oksigen tidak sampai ke otak dan jantungnya berhenti selama 10 minit ketika proses berkenaan berlangsung.

Norfadilla yang masih tidak boleh bercakap, ketika menemui anaknya semalam dilihat menangis teresak-esak sehingga mengeluarkan suara kerana terlalu gembira dan memeluk erat anaknya.

error0