EQUANIMITY KINI DI SINGAPURA

KAPAL layar mewah, Equanimity kini dikesan berada di perairan Singapura, selepas hampir lima bulan ditempatkan di Pangkalan Markas Wilayah Laut Tiga (Mawilla 3) di Bukit Malut, Langkawi.

Kapal tersebut memulakan pelayaran pada Ahad lalu, jam 1.09 tengah hari berdasarkan maklumat yang dinyatakan di laman web pemantauan vessel dalam talian.

Dengan purata kelajuan sembilan knot, Equanimity tiba di pelabuhan untuk mengisi bahan api di negara itu pada jam 7.08 pagi tadi.

Selepas dua jam, kapal itu meninggalkan pelabuhan berkenaan dan meneruskan pelayaran dan tiba di Changi pada jam 10.12 pagi tadi.

Untuk rekod, Genting Malaysia Bhd pada 3 April lalu, mengesahkan pembelian kapal mewah Equanimity bersama bunker, bahan api, pelincir dan barangan sedia ada atas kapal itu dengan pertimbangan harga AS$126 juta (RM514.6 juta).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pada 26 Mac 2019, ia membuat tawaran ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membeli kapal mewah berkenaan di bawah proses Jualan Kehakiman, melalui jualan terus persendirian, menurut perintah dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengikut bidang kuasa Admiralti.

Pengambilalihan itu, menurut Genting Malaysia, akan membezakannya daripada pesaing lain, selain memberikannya kelebihan unik serta berdaya saing untuk pelanggan premium perniagaan.

Ia turut yakin pembelian itu tidak membawa kesan kepada aset bersih, pendapatan dan perancangan syarikat sehingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.