DULU BANTAH POLIGAMI, KINI TINGGAL SERUMAH BERSAMA MADU

Gambar kredit Harian Metro.

BEKAS pramugari, Sufainah Goh Ai Peng, 41, tidak menyangka pendiriannya untuk menentang poligami suatu masa dahulu berubah kerana takdir Allah SWT dan kini hidup bahagia bersama isteri pertama suaminya di rumah yang sama.

Memeluk Islam pada tahun 2006 dan berkahwin dengan Mohd Zanishuhaizal pada 2014, Sufainah mengakui keputusan untuk menjadi isteri kedua ditentang hebat oleh keluarganya apatah lagi mereka berbeza agama dan budaya.

“Dulu, saya tidak menyokong poligami tetapi siapa sangka, takdir Allah SWT menentukan saya menjadi isteri kedua.

“Segelintir masyarakat mungkin memandang negatif bila bercakap soal poligami namun sepanjang tinggal serumah dengan isteri pertama, semuanya lancar tanpa ada masalah,” ujarnya memetiK Harian Metro.

Semenjak melahirkan anak, Tia Ummaira yang kini berusia setahun sembilan bulan, Sufainah memberitahu hubungannya bersama keluarga kembali rapat, dan bertuah kerana memiliki madu yang saling membantu membesarkan anak.

“Malah, kami saling bertolak ansur dan saya bersyukur kerana Khadijah banyak membantu menguruskan kerja rumah dan menjaga anak ketika saya serta suami bekerja,” katanya.

Sufainah dan Mohd Zanishuhaizal memiliki pusat gimnasium dan mengusahakan perniagaan kecerdasan diri.

Sementara itu, isteri pertama, Khadijah Beladin, 29, memberitahu dirinya ikhlas berkongsi kasih dan tinggal sebumbung bersama Sufainah.

Mendirikan rumah tangga pada 2012 dan dikurnikan tiga orang anak, Khadijah berkata suaminya menyuarakan hasrat untuk berkahwin lagi selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.

“Sepanjang perkahwinan, hubungan kami tidak berdepan masalah malah ketika menyatakan hasrat untuk berkahwin lagi, saya tidak sedih sebaliknya akur kerana percaya dengan kemampuannya.

“Lagipun, saya sudah bertemu dan berkenalan dengan Sufainah sebelum dia berkahwin dengan suami jadi tiada masalah untuk menerimanya sebagai madu serta tinggal serumah.

“Malah, hubungan kami tidak hanya sebagai madu malah saya sudah menganggapnya seperti rakan karib dan sekiranya ada masalah, kami akan bincang serta mencari penyelesaian bersama,” katanya yang juga seorang suri rumah sepenuh masa.

Bagi Mohd Zanishuhaizal, dia bersyukur kerana kedua-dua isteri dapat tinggal bersama di bawah satu bumbung selain menerima dirinya seadanya, malah sentiasa cuba berlaku adil dan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.

“Dulu, saya seorang yang keras kepala dan sentiasa merasakan diri sendiri betul namun kehidupan saya berubah 360 darjah selepas berumahtangga. Boleh dikatakan, hidup saya lebih sempurna dan bahagia sejak berumah tangga kerana adanya anak sebagai pelengkap serta dua isteri yang boleh menerima satu sama lain,” ujarnya.

error0