DUA KALI PROSIDING, BUKTI TAMBAHAN AKHIRNYA MEMISAHKAN PU ABU DAN ISTERI DENGAN TALAK DUA

KEMELUT rumah tangga membabitkan Pencetus Ummah (PU) Abu Sufyan dan isterinya, Ain ‘Afini Latif berakhir semalam selepas mahkamah memutuskan penceraian mereka sah dengan talak dua.

Ia berikutan dengan bukti tambahan yang diberikan oleh pihak lelaki selepas mahkamah pada belah paginya memutuskan penceraian pasangan berkenaan melalui aplikasi Whatsapp sebagai tidak sah.

Pasangan itu berpatah balik ke mahkamah ketika dalam perjalanan pulang selepas PU Abu ingin mengemukakan fakta tambahan untuk menyokong penceraian mereka.

PU Abu mengakui pihaknya tidak memberi kenyataan penuh ketika prosiding di belah pagi.

Beliau bagaimanapun tidak mahu berkongsi butiran di sebalik bukti tambahan berkenaan.

Ain juga mengesahkan perkara itu dan menjelaskan kekeliruan mengenai maklumat yang disampaikan oleh bekas suaminya.

“Kami sambung bicara kes waktu petang. Ada maklumat pihak lelaki yang tak lengkap sewaktu perbicaraan pagi. Itu yang menjadi punca talak tak sah. Jadi kalau ikutkan mahkamah (keputusan) macam tu la… jatuh talak dua.

“Tapi maaf saya tak dapat kongsikan (fakta tambahan yang dikemukakan kepada mahkamah) kerana ia melibatkan aib di pihak sana,” jelas Ain.

PU Abu dan Ain pada 28 Januari lalu telah bercerai dengan talak satu namun bertindak rujuk semula dalam tempoh sebulan.

Bagaimanapun PU Abu bertindak menghantar lafaz cerai menerusi Whatsapp pada 13 Mac lalu selepas seminggi meninggalkan isterinya.

Ain kini sedang sarat hamil tujuh bulan dan bakal bersalin Julai depan.