DUA DAH KENA CEKUP, BAKI PENYAMUN MASIH DIBURU

KES samun yang menggunakan parang oleh sekumpulan individu dengan menaiki motorsikal jenis Yamaha 125z baru-baru ini amat menggusarkan masyarakat di Lembah Klang. Mereka turut menggunakan senjata tajam dan merbahaya seperti parang dalam tiga kes samun dan cubaan samun yang tular sejak minggu lalu.

Terbaru, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin memberitahu dua daripada tujuh ke lapan lelaki yang terbabit sebagai suspek samun itu telah ditahan namun enggan mendedahkan tarikh dan lokasi tangkapan kerana tidak mahu mengganggu siasatan polis dan usaha mengesan beberapa individu yang lain.

“Satu pasukan khas sudah ditubuhkan bagi menangani kes jenayah sekumpulan lelaki bermotosikal yang melakukan samun seperti tular di media sosial baru-baru ini.

“Dua lelaki itu sudah ditahan buat masa ini dan siasatan sedang dijalankan mengenai pembabitan mereka dalam kegiatan jenayah terbabit,” katanya

Kesemua suspek dipercayai warga tempatan dan mensasarkan perkarangan rumah yang sunyi sebelum melakukan jenayah samun.

Dalam kes pertama jam 2.15 petang pada 21 Februari lalu, mangsa lelaki yang meletakkan kereta di luar rumahnya di Jalan Sri Sarawak, Taman Sri Andalas, Klang, didatangi enam lelaki menaiki motosikal mengacukan parang sebelum melarikan wang tunai RM5,000, buku cek, barang kemas RM2,000 dan telefon bimbit.

Tidak lama selepas itu, seorang wanita disamun ketika berada di depan rumahnya di Lorong Lengkongan, Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang oleh lapan lelaki bersenjatakan parang menaiki empat motosikal jenis Yamaha 125Z.

Pada jam 4.05 petang, lelaki yang mahu keluar dari rumahnya di Bukit Kuchai, Bandar Kinrara, cuba disamun tujuh lelaki menaiki empat motosikal yang sebelum itu berlegar-legar di sekitar kawasan rumahnya.

Namun, suspek terbabit gagal menyamun mangsa selepas dia melarikan diri masuk ke dalam rumah.

Sumber Harian Metro.

error0