DASAR PERUMAHAN MAMPU MILIK UNTUK B40

KUALA LUMPUR: Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) akan menjadi panduan kepada pemaju pembangunan rumah mampu milik dengan menggariskan spesifikasi dan panduan tertentu.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, DRMM yang juga sub kepada Dasar Perumahan Negara (DRN) 2018 -2015 berperanan dalam menyediakan rumah yang kondusif kepada kumpulan yang berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Keluasan minimum rumah mampu milik itu ditetapkan 900 kaki persegi dengan harga antara RM90,000 hingga RM300,000 dan akan dibina oleh kerajaan, kerajaan negeri atau pemaju swasta.

“DRMM ini kita tekankan keluasan rumah sekurang-kurangnya 900 kaki persegi berserta kemudahan, serta beberapa kaedah untuk pemaju supaya mereka mampu bina rumah berdasarkan spesifikasi yang kita tetapkan untuk golongan B40.

“Menerusi dasar ini juga, kita tubuhkan Majlis Perumahan Mampu Milik Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri dan sudah bermesyuarat pada 8 Januari lalu bersama Menteri Besar, Ketua Menteri dan Exco Perumahan negeri.

“Majlis ini juga sedang meneliti untuk memperkenalkan satu lagi aspek untuk pembinaan rumah mampu milik, iaitu menggunakan tanah wakaf,” kata Zuraida.
DRN menggariskan lima fokus, 16 strategi dan 57 pelan tindakan sebagai panduan pembinaan rumah yang sistematik dengan mengambil kira isu semasa untuk pembangunan perumahan di peringkat persekutuan, negeri dan swasta.

DRN juga melakukan pembaharuan dengan meletakkan Perbadanan PRIMA Malaysia, program Perumahan Penjawat Awam (PPAM) dan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Dalam pada itu kerajaan juga mewajibkan kesemua projek perumahan awam dan swasta yang baru mendapatkan Sijil Penilaian Kualiti Dalam Pembinaan Bangunan (QLASSIC), peralihan sistem Jual-Kemudian-Bina kepada Bina-Kemudian-Jual dan menggubal Akta Sewaan Kediaman untuk melindungi kepentingan pemilik rumah dan penyewa, selain menyelesaikan isu diskriminasi penyewa dan kuota perumahan Bumiputera.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/01/525017/kerajaan-rangka-dasar-perumahan-mampu-milik-negara-untuk-b40
5/5
error0
Tweet 20