CUEPACS MOHON KERAJAAN BERI BANTUAN HARI RAYA

PRESIDEN Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awal (CUEPACS), Datuk Azih Muda memberitahu pihaknya akan memohon pertimbangan bantuan sempena perayaan Aidilfitri akan datang daripada kerajaan.

Permohonan akan dilakukan menerusi surat yang akan diutus kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam tempoh terdekat.

Bantuan itu, menurut Azih akan dimanfaatkan oleh hampir 1.7 juta penjawat awam di Malaysia.

Azih berkata perkara itu sememangnya akan dikemukakan kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada setiap tahun, dan pihaknya akan terus membawa permohonan itu sebagaimana tahun sebelumnya untuk dipertimbangkan.

“Kita akan suarakan kepada kerajaan dengan mengutus surat kepada PM (Perdana Menteri) dan Menteri Kewangan supaya dalam mengharungi kos sara hidup yang semua orang tahu beban dan kesannya terhadap kewangan penjawat awam yang berada di mana-mana jua.

“Bukan sahaja membabitkan penjawat awam di bandar, malahan di luar bandar, dan kalau tidak dibantu (melalui bantuan khas Aidilfitri) mungkin terdapat dalam kalangan penjawat awam tidak dapat berhari raya kerana tidak mampu nak membeli baju raya untuk anak-anak dan sebagainya,” katanya di Seminar Hari Pekerja Sempena Sambutan Hari Pekerja CUEPACS di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak, semalam.

Tahun lalu, Kerajaan Pusat memberikan bayaran khas Aidilfitri sebanyak RM400 untuk penjawat awam gred 41 dan ke bawah, dan RM200 untuk pesara kerajaan.