zulfarhan osman

BUNUH PELAJAR UPNM: MAHKAMAH TETAP 31 JULAI UNTUK KEPUTUSAN

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan tarikh 31 Julai depan untuk keputusan kes 19 pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa membunuh dan mencederakan rakan seuniversiti mereka, Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain, dua tahun lepas.

Memetik laporan Sinar Harian, Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan dan penjelasan daripada kedua-dua pihak.

Intipati hujah yang disebut pihak pendakwaan pada hari ini berkenaan 90 kesan tekapan seterika wap pada mangsa.

Turut dibangkitkan pihak pembelaan ialah mengenai punca kematian mangsa bukan disebabkan kecederaan ketika kejadian tetapi disebabkan faktor luaran dan peranan setiap pelajar UPNM terbabit serta niat bersama mereka seperti dalam pertuduhan.

Berhubung niat bersama, kata Julia, pihaknya menghujahkan bahawa prinsip niat bersama berjaya dibuktikan berdasarkan keterangan saksi yang melihat kejadian tersebut serta penglibatan setiap pelajar terbabit.

“Laporan yang diberikan pakar patologi dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Dr Salmah Arshad menunjukkan kesan tekapan itu menyebabkan mangsa mengalami 80 peratus melecur pada tubuh badannya.

“Pihak pembelaan turut membangkitkan mengenai kesan kecederaan yang tidak kelihatan ketika kejadian namun, berdasarkan keterangan saksi mangsa menjerit setiap kali dipukul dan ditekap dengan seterika,” katanya.

Tertuduh diwakili barisan peguam Amer Hamzah Arshad, Datuk Ranjit Singh Dhillon, A.G. Kalidas, Datuk Hazizah Kassim, Datuk Seri M. Ramachelvam, Azizul Shariman Mat Yusoff dan Zamri Idrus.

Perbicaraan bermula pada Januari 2018 dengan 29 saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan, termasuk dua saksi mata iaitu pelajar UPNM, Ahmad Senabil Mohd dan Mpohd Syafiq Abdullah.

Mengikut rekod, enam penuntut UPNM, Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali menghadapi pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka yang kesemuanya berusia 22 tahun, dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017 dipercayai akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakannya
.