BUNUH JONG-NAM, WANITA VIETNAM DIHUKUM PENJARA 40 BULAN

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun dan empat bulan terhadap Doan Thi Huong atas pertuduhan alternatif mendatangkan kecederaan kepada Kim Jong Nam, atau Kim Chol, iaitu abang kepada pemimpin Korea Utara.

Doan, 30, seorang wanita warga Vietnam mengaku bersalah di atas pertuduhan pindaan yang dibacakan oleh Hakim Datuk Azmi Ariffin.

Dia sebelum ini didakwa membunuh Kim Chol mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan namun pertuduhan itu dipinda kepada yang lebih ringan iaitu mencederakan lelaki berkenaan, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Dia didakwa bersama-sama empat lagi yang masih bebas dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Kim Chol dengan menggunakan bahan yang berbahaya kepada tubuh badan apabila dimasukkan ke dalam saluran darah iaitu racun VX.

Wanita itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 February 2017.

Hari ini sepatutnya Doan membela diri atas pertuduhan membunuh itu.

Ketika prosiding, Doan yang memakai skaf, kelihatan tenang dalam kandang tertuduh sambil memandang kepada beberapa lelaki termasuk bapanya dan pegawai daripada kedutaan Vietnam yang hadir pada prosiding itu.

Pada 11 Mac lalu, Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan Siti Aisyah, 26, warga Indonesia daripada pertuduhan membunuh Kim Chol.

Pada Mac lalu, Doan melalui peguamnya mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi mengkaji pertuduhan bunuh itu tetapi ia ditolak.

Pada 16 Ogos 2018, mahkamah memerintahkan Siti Aisyah dan Doan membela diri atas pertuduhan membunuh Kim Chol.

Sebelum ini mereka didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas klia2 pada 9 pagi, 13 Februari 2017 menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber : BERNAMA