BUDAK LAPAN TAHUN DILAPOR HILANG

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dilaporkan hilang, kali terakhir dilihat bermain bersama rakan-rakannya di kawasan Pangsapuro Seri Dahlia, Bandar Seri Putra, Bangi, sejak semalam.

Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi dikatakan keluar dari rumahnya untuk bermain bersama rakannya kira-kira jam 8 pagi.

Ibunya, Sainih Sunding, 46, berkata anak bongsu dari lima beradik itu tidak ke sekolah semalam.

Kehilangan Zahiruddin hanya disedari Sainih selepas tidak melihat kelibat anaknya selepas pulang dari kerja.

Dia meminta anak ketiganya mencari Zahiruddin di kawasan kejiranan, kemudian mencari di luar kawasan rumah namun masih gagal menjejak kelibat anaknya.

Dikatakan Zahiruddin dilihat di kedai pada tengah hari semalam dan dikatakan bermain di kawasan kejiranan pada sebelah petang.

Kehilangan Zahiruddin dilaporkan kepada Balai Polis Bandar Seri Putra dan dihebatkan menerusi Nur Alert.