BENARKAH BAPA TANGGUNG DOSA ANAK PEREMPUAN YANG BELUM BERKAHWIN?

SERINGKALI kita mendengar seorang lelaki bujang yang telah baligh menanggung dosa dirinya sendiri, manakala dosa seorang perempuan yang telah baligh ditanggung oleh bapanya.

Begitu juga lelaki yang telah berkahwin, bukan sahaja perlu menanggung dosa sendiri, malah dia juga perlu menanggung dosa si isteri, anak-anak perempuan yang belum berkahwin dan anak-anak yang belum baligh.

Seperti contoh, anak perempuan yang telah datang haid dan tidak menutup aurat dengan sempurna, maka dosanya akan ditanggung oleh si bapa. Begitu juga seorang isteri yang tidak solat, maka dosanya ditanggung oleh si suami.

Konsep tanggung dosa orang lain ini wujud dalam ajaran agama Kristian, dimana penganutnya mempercayai setiap bayi yang baru dilahirkan menanggung dan mewarisi dosa asal (Original Sin) Nabi Adam AS. Kerana itulah mereka menjalankan upacara pembaptisan bagi menyucikan dosa-dosa yang ditanggung oleh bayi yang baru dilahirkan.

Namun konsep tanggung dosa ini tidak terpakai bagi ajaran agama Islam.

Firman Allah SWT bermaksud, “(iaitu) bahawasanya seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain” (Surah Al Najm (53) Ayat 38)

“Dan seorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain” (Surah Al Israa (17) Ayat 15)

“Maka pada hari itu seseorang tidak akan dirugikan sedikit pun dan kamu tidak dibalasi, kecuali dengan apa yang kamu kerjakan” (Surah Yasin (36) Ayat 54)

Secara jelas, sesiapa sahaja, sama ada lelaki atau perempuan yang telah mencapai baligh perlu menanggung dosanya sendiri.

Tanggungjawab ibu dan bapa pula wajib untuk mendidik, mengasuh dan menasihat anak-anak dengan ilmu agama dengan memberikan ajaran asas ibadah, akidah, akhlak dan ilmu tasauf supaya kehidupan mereka dilengkapi dengan perkara-perkara yang baik.

Sekiranya ibu bapa mendapati anak-anak berbuat dosa, maka wajib untuk mereka untuk menegur dan memberi nasihat. Jika ibu bapa gagal memberi teguran dan mendidik dengan sebaiknya sehingga mereka melakukan dosa, maka si ibu dan bapa menanggung dosa kerana gagal mendidik namun si anak yang membuat dosa tetap menanggung dosanya sendiri.

Sedangkan Nabi Nuh dan Nabi Luth AS yang berdakwah atas nama Islam juga mempunyai isteri dan anak-anak yang derhaka walaupun telah mendidik dan menyeru mereka untuk sentiasa mengikuti jalan yang benar dan diredhai Allah SWT.

“Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): “Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)” (At-Tahriim : 10)

Di sini jelaslah, dosa seseorang individu itu tidak ditanggung atau berpindah kepada orang lain, melainkan terhadap dirinya sendiri.

error0
Tweet 20