BAYI KURANG RISIKO DI DALAM PESAWAT JIKA SIHAT

RISIKO komplikasi kesihatan terhadap bayi jika menaiki pesawat adalah rendah sekiranya mereka berada dalam keadaan sihat, demikian tegas Pakar Pediatrik Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Mohamad Iqbal Muhammad Sarwar.

Kejadian yang tidak diingini hanya mungkin berlaku jika bayi sememangnya tidak sihat.

Sehubungan itu Dr Mohamad Iqbal mengingatkan ibu bapa peka dengan keadaan anak sebelum ingin membawa anak menaiki pesawat.

“Menerusi pemeriksaan awal, ibu bapa dapat mengetahui status kesihatan bayi dan boleh menangguhkan jadual penerbangan jika anak tidak sihat,” katanya memetik Berita Harian.

Semalam, seorang bayi berusia dua bulan maut ketika menaiki pesawat Air Asia dari Kuala Lumpur ke Perth, Australia kerana ‘kecemasa perubatan’.

Beliau juga mengingatkan kepentingan bayi diberi suntikan vaksin kerana sistem pertahanan badan mereka yang masih rendah dan memudahkan mereka diserang virus, terutama jika berada di tempat awam yang sesak.