pembedahan ainul berjaya

BAYI KETUMBUHAN DI MULUT SELAMAT JALANI PEMBEDAHAN

AINUL Mardhiah Ahmad Safiudin, bayi berusia empat bulan yang menghidap ‘Germ Cell Tumor’ selamat menjalani prosedur pembedahan untuk membuang ketumbuhan di mulutnya di sebuah hospital di London, semalam.

Prosedur dilakukan oleh sekumpulan pakar bedah anestetik, diketuai Ketua Unit Craniofacial hospital itu, Prof David Dunaway.

Ketumbuhan di mulut Ainul mencapai berat sehingga 200 gram dan mula membesar sejak dia dilahirkan.

Pasukan pembedahan yang terlibat juga menyifatkan prosedur itu sebagai berjaya dan berjalan dengan lancar.

Doktor bedah plastik pediatrik dan craniofacial, Dr Julian Ong, seorang daripada empat petugas perubatan menjelaskan, sampel ‘biopsi’ terhadap tumor pada mulut bayi terbabit terdiri daripada komponen sel kanser dan bukan kanser.

Katanya, keutamaan kini terarah kepada usaha untuk merehatkan Ainul menerusi jagaan rapi petugas perubatan supaya luka pembedahan berupaya pulih secepat mungkin, sebelum kesihatan bayi berkenaan dinilai semula.

“(Ketika pembedahan) tidak banyak berlaku pendarahan. Syukur, Ainul berada dalam keadaan baik dan stabil sepanjang proses pembedahan dilakukan. Ketumbuhan pada mulutnya sangat besar.

“Sekarang, kita perlu pastikan Ainul selesa dalam jagaan rapi, biarkan dia rehat dan lukanya sembuh, kemudian kita akan teliti semula perkembangannya untuk tempoh beberapa minggu akan datang bagi mengesahkan sel kanser mulutnya tidak berulang.

“Ainul juga akan diberi ubat tahan sakit dalam jumlah yang bersesuaian bagi membantu melegakannya daripada operasi pembedahan,” katanya.

Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, ketika ditemui selepas operasi pembedahan anaknya, berulang kali mengucap syukur kerana diberikan peluang untuk ‘sekali lagi’ menjadi bapa kepada bayinya.

“Syukur ke hadrat Ilahi kerana kami diberikan peluang sekali lagi untuk menjadi ibu dan bapa kepada Ainul. Kami sangat teruja untuk menjaga Ainul dan bermain dengannya seperti kehidupan dijalani kanak-kanak lain.

“Apabila pertama kali melihat Ainul selepas pembedahan (tanpa ketumbuhan di mulutnya), dia sangat cantik, macam masa mula-mula dilahirkan. Ini adalah kelahiran semula Ainul,” katanya yang ditemani isteri, Nurul Erwani Zaidi.

error0
Tweet 20