BAYI DUA BULAN MENINGGAL DALAM PESAWAT DARI KL KE PERTH

PENUMPANG pesawat AirAsia dari Kuala Lumpur ke Perth, Australia hari ini dikejutkan dengan kematian seorang bayi berusia dua bulan, dipercayai akibat ‘kecemasan perubatan’ sebagaimana digelarkan oleh syarikat penerbangan berkenaan.

Memetik Berita Harian, jurucakap syarikat penerbangan tambang murah itu berkata sepasukan pakar perubatan dan polis Australia Barat (WA) menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth di sini.

Kes berkenaan masih disiasat dan pihak berkuasa akan menyediakan laporan kepada pegawai bertanggungjawab.

Seorang jurucakap media polis WA berkata, tidak wujud situasi mencurigakan berhubung kematian bayi terbabit.

Sementara itu AirAsia tidak akan mengeluarkan butiran lain mengenai insiden itu.

“Kami tidak dapat mengulas lanjut berhubung situasi perubatan bayi itu, bagaimanapun pihak kami mengucapkan takziah kepada keluarga bayi malang berkenaan,” kata jurucakap AirAsia dalam satu kenyataan.

Pegawai dilihat meninggalkan pesawat pagi ini membawa bukti berupa beg kertas besar berwarna perang.

Seorang kakitangan lapangan terbang dilihat membawa kereta bayi keluar dari pesawat. Pesawat sama dijangka berlepas 6.50 pagi menggunakan kod D7237 dari Perth ke Kuala Lumpur, namun terpaksa ditunda akibat kecemasan.

Sehingga jam 9.30 pagi waktu tempatan, pesawat itu masih berada di landasan sama.

Jurucakap AirAsia memohon maaf atas sebarang kesulitan dan berkata syarikat akan membantu pengguna membuat tempahan tiket baharu.