BAPA PUKUL ANAK GUNA PENYANGKUT BAJU DITAHAN

GARA-gara tidak mendengar kata, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun menjadi mangsa penderaan oleh bapanya sendiri dengan menggunakan penyangkut baju.

Kejadian itu disedari oleh seorang guru wanita kepada kanak-kanak berkenaan di tadikanya pada jam 7.30 pagi Khamis lalu selepas melihat mangsa dalam keadaan lesu, batuk dan terdapat kesan lebam di wajahnya. Kanak-kanak terbabit mengakui dipukul bapanya selepas diajukan soalan oleh guru berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ahmad Nasir Jaafar berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki yang dipercayai sebagai bapa kanak-kanak itu pada jam 5.45 petang semalam di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.

“Hasil pemeriksaan, guru terbabit menemui kesan lebam di bahagian belakang badan, tangan kiri dan kanan, pipi kiri dan kanan dan di bahagian punggung. Guru wanita itu kemudian telah membuat laporan polis pada pukul 11.18 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kanak-kanak itu seterusnya dibawa ke Hospital Kulim dan pemeriksaan lanjut doktor mengesahkan kecederaan mangsa adalah disebabkan dipukul menggunakan objek tumpul.

Menurut Ahmad Nasir, lelaki itu juga mengakui telah memukul anaknya kerana nakal dan tidak mendengar kata.

“Siasatan awal, suspek yang tidak mempunyai rekod lampau mengaku terlibat dalam kejadian tersebut. Suspek yang ditahan telah diberi jamin polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. 

error0