APA AKAN TERJADI KEPADA TUBUH SELEPAS MATI?

KEMATIAN – satu keadaan di mana kesemua fungsi tubuh badan terhenti. Ia dinyatakan ketika nafas dan denyut jantung seseorang individu berhenti dalam beberapa tempoh yang signifikan dan seluruh aktiviti saraf di otak tidak lagi berfungsi.

Terdapat beberapa perubahan tertentu yang berlaku pada jasad tubuh seseorang selepas disahkan mati. Ia meliputi perubahan awal dan perubahan susulan.

Kulit

Perubahan pertama yang dapat dilihat selepas kematian adalah keadaan kulit si mati. Kekenyalan kulit semakin hilang dan warna kulit bertukar menjadi pucat.

Mata

Tindak balas cahaya terhadap pupil dan korneo tidak lagi berlaku dan semakin hilang. Selepas dua jam kematian, kornea akan menjadi keruh, tekanan di dalam mata semakin turun, bola mata menjadi flaksid dan tenggelam ke dalam orbit mata.

Algor Mortis

Juga dipanggil penurunan suhu badan, ia berlaku secara radiasi, konduksi dan konveksi. Suhu badan mayat dipengaruhi oleh keadaan, cara kematian, sehu persekitaran dan keadaan persekitaran di mana kematian berlaku.

Mayat kanak-kanak dan orang tua, atau keadaan mayat yang tidak berbaju atau berpakaian nipis kebiasaannya akan mempercepatkan penurunan suhu badan.

Mayat individu yang kurus juga akan mengalami penurunan suhu yang cepat berbanding mayat berbadan besar kerana kandungan lemak di dalam badan.

Jika mayat dijumpai di dalam air, suhu badan akan dipengaruhi oleh suhu air, keadaan air dan aliran air. Penurunan suhu badan menjadi lambat sekiranya air itu kotor kerana aktiviti bakteria di dalam badan yang aktif.

Rigor Mortis

Ia merupakan keadaan mayat beransur-ansur menjadi kaku selepas kematian berlaku. Mayat akan menjadi kaku dalam tempoh sejam hingga dua jam namun kaku mayat akan hilang dan berakhir selepas 48 jam.

Keadaan ini terjadi akibat tindakbalas kimia pada otot apabila glikogen semakin berkurang dalam penghasilan Adenosin Tri Phosphate (ATP) menyebabkan penimbunan Adenosin Di Phosphate (ADP) dan seterusnya menyebabkan kontraksi otot.

Umur, aktiviti yang dilakukan sebelum kematian dan suhu persekitaran mempengaruhi rigor mortis. Jika seseorang itu terlibat dalam pergelutan sebelum kematian, proses kaku menjadi lebih cepat kerana kehilangan ATP yang banyak.

Keadaan tubuh seseorang juga mempengaruhi kaku mayat. Mereka yang berbadan besar akan mengalami proses kaku mayat yang perlahan berbanding mereka yang berbadan kecil, kanak-kanak dan orang tua.

Livor Mortis

Turut dikenali sebagai postmortem hypostasis atau lebam mayat, ia berlaku kerana proses pengaliran darah yang terhenti. Keadaan ini dapat dilihat pada mayat dimana bahagian badan mereka bertukar warna ungu kebiruan atau merah kebiruan.

Lebam mayat dapat dilihat menerusi keadaan si mati. Jika mayat ditemui dalam keadaan meniarap, lebam pada mayat dapat dilihat pada belakang badannya, begitu juga sebaliknya.

Lebam mayat boleh dilihat dalam tempoh satu hingga tiga jam selepas kematian berlaku. Proses ini penting dalam usaha mengenalpasti tempoh kematian.

Demikian beberapa proses yang terjadi kepada tubuh seseorang selepas kematian. Proses sebegini amat penting kepada ahli forensik untuk menyiasat tempoh, punca sesiatu kematian.