bantuan mangsa rogol

ANDA MANGSA ROGOL? KETAHUI APA YANG PERLU DILAKUKAN!

KES rogol atau seks paksa sering dilaporkan di media akhir-akhir ini. Yang sering menjadi mangsa adalah remaja yang masih bersekolah, termasuklah kanak-kanak kecil yang masih tidak tahu apakah jenis perbuatan ini.

Ibu bapa seharusnya mengambil tahu aktiviti anak-anak, mengawal pergaulan dan membataskan penggunaan telefon bimbit dan media sosial agar tidak mudah terpengaruh dengan perkara yang negatif.

Sekiranya anda menjadi mangsa rogol, ini adalah antara tindakan penting dan utama yang perlu dilakukan!

  1. Jangan tukar baju, jangan basuh pakaian luar dan dalam! Anda hanya akan memusnahkan bukti penting perbuatan rogol seperti darah, air mani, rambut dan air liur sekiranya anda membasuhnya.

2. Dapatkan bantuan ahli keluarga atau rakan. Walaupun ini merupakan waktu yang amat sukar, apatah lagi dengan trauma dengan kejadian sedemikian, minta pertolongan mereka supaya anda dapat ke balai polis dan hospital.

3. Dapatkan pemeriksaan kesihatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma di mana-mana hospital kerajaan dengan segera. Pemeriksaan dilakukan oleh doktor di bilik peribadi (Pusat Krisis Bersepadu) untuk mencari dan mengumpul bukti rogol. Anda perlu menandatangani borang kelulusan bagi pemeriksaan kesihatan untuk urusan siasatan polis. Walaupun tidak selesa, doktor akan memeriksa bahagian kemaluan dan pakaian anda untuk mengumpul bukti.

4. Lakukan laporan polis di balai polis dengan segera atau boleh juga dibuat di hospital di kaunter polis. Anda boleh membuat laporan di balai polis terlebih dahulu dan seorang anggota polis harus menemani anda ke hospital selepas laporan anda diserah.

5. Tiada masalah jika anda mahu membuat laporan lewat beberapa hari namun selepas 72 jam, rogol dianggap sebagai ‘kes dingin’ iaitu, keterangan tidak lagi ada di sana. Apabila anda melaporkan rogol, anda menghalang pemerkosa daripada mencederakan wanita lain.

6. Jangan takut atau segan! Beritahu seseorang yang anda percayai seperti ahli keluarga atau rakan, atau menghubungi NGO wanita untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling adalah penting. Dengan ini boleh membantu anda menangani perasaan takut, kebimbangan, dan ketidakpastian yang sering dialami oleh mangsa rogol.

error0
Tweet 20