ANAK TOREH BAPA GUNA PISAU, DAKWA DENGAR BISIKAN

SEORANG lelaki berusia 48 tahun cedera selepas ditoreh di bahagian belakang leher dan telinga oleh anaknya dalam kejadian malam Ahad lalu.

Ketika kejadian, mangsa sedang makan di rumah mereka di Sungai Chenaam, Nibong Tebal, dan secara tiba-tiba suspek yang berusia 22 tahun keluar dari bilik dan menuju ke dapur mengambil pisau.

Suspek yang tidak bekerja dipercayai mendengar bisikan sehingga membuatkan dirinya menjadi marah dan bertindak menoreh bapanya.

Suspek didakwa sering mengalami gangguan halusinasi dan pernah menjalani pemeriksaan dan rawatan kemurungan di Hospital Bukit Mertajam pada 2014 dan diberikan ubat penenang.

Bagaimanapun suspek tidak lagi dibawa menjalani rawatan susulan selepas ibunya mendapati anaknya tidak menunjukkan perubahan.

Siasatan dijalankan ke atas suspek mendapati negatif saringan dadah dan tiada rekod lampau. Suspek disiasat mengikut Seskyen 324 Kanun Keseksaan, sementara bapanya menerima 10 jahitan akibat kecederaan itu.