ADIK DAN TEMAN LELAKI DIREMAN KERANA BUNUH ABANG

HANYA kerana pergaduhan berkenaan telefon bimbit, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun mati dibunuh oleh adik perempuan dan teman lelakinya.

Kejadian dilaporkan berlaku pada Jumaat lalu, selepas mangsa dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumah selepas sesi persekolahan.

Perintah tahanan reman dikeluarkan hari ini oleh Penolong Kanan Pendaftar, Nurul Hidayah Ismail di Mahkamah Majistret Taiping terhadap suspek perempuan berusia 14 tahun dan teman lelakinya, 15 tahun bagi membantu siasatan.

Kedua-duanya memakai pakaian lokap bewarna ungu dibawa ke mahkamah pada pukul 8.30 pagi dan diiringi pihak polis.

Terlebih dahulu kedua-duanya diberkas semalam untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada pukul 12.18 tengah hari semalam, mayat, S. Sritharan yang dibalut plastik ditemukan dengan kesan kelar di leher dan kedua-dua pergelangan tangan di belakang sebuah rumah kosong yang terletak bersebelahan rumahnya.

Mayat pelajar tingkatan empat itu dijumpai bapanya setelah dua hari dia dilaporkan hilang apabila tidak pulang ke rumah selepas ke sekolah Jumaat lalu.

Siasatan polis kemudiannya telah membawa kepada penangkapan kedua-dua suspek di mana seorang daripadanya adalah adik perempuan mangsa serta teman lelaki yang mengaku telah membunuh mangsa.

Difahamkan, kejadian itu berlaku gara-gara pergaduhan yang dikatakan berpunca daripada telefon bimbit antara mangsa dan kedua-dua suspek.

Utusan Malaysia.

error0