5 RESEPI AYAM YANG SIMPLE UNTUK JUADAH BERBUKA

PENING nak masak apa setiap kali berbuka puasa? Nah, kami bantu anda hasilkan menu berasaskan ayam yang mudah dan cepat, paling penting amat disukai oleh anak-anak.

Amat sesuai jika anda kesuntukan masa dan memerlukan kepantasan untuk memasak. Selamat mencuba!

AYAM MASAK MERAH
1/2 ekor ayam – perap dengan garam dan kunyit

Bahan-bahan kisar :
5-6 batang cili kering
2 cm halia
3 ulas bawang putih
1 1/2 labu bawang besar
2 biji tomato potong dadu
1/2 cawan sos tomato

Cara memasak :
Bersih ayam. Potong kecil-kecil dan gaul dengan garam kunyit. Goreng sehingga 2/3 masak.
Tumis bahan kisar kecuali sos tomato dan tomato sehingga naik bau. Kemudian barulah dimasukkan sos dan buah tomato. Tumis sehingga naik minyak.
Masukkan ayam. Biar kuah jadi pekat. Sekali sekala hendaklah digaul balikkan.
Bila kuah dah pekat bolehlah masuk bahan-bahan hias. Biar 1-2 minit. Kemudian padamkan api.

AYAM MASAK LEMAK KUNING
1/2 ekor ayam
2 keping asam gelugor
1 kotak santan segera
2 biji ubi kentang

Bahan-bahan kisar :
7 biji cili padi (kurangkan jika tak suka pedas)
1 inci kunyit hidup
5 ulas bawang merah
1 batang serai
2 inci halia
1 sudu teh serbuk kunyit

Cara memasak :
Kisarkan semua bahan sehingga lumat.

Masukkan 1/3 santan berserta dengan 2 cawan air ke dalam kuali besar dan buka api yang sederhana.

Masukkan bahan yang telah di kisar tadi. Kacau sebati kemudian terus masukkan ayam dan ubi kentang.

Setelah mendidih, kecilkan api dan masukkan semua baki lebihan santan tadi ke dalam kuali. Masukkan juga serbuk kunyit dan asam keping. Kacau sebentar tanpa henti supaya tak pecah minyak selama beberapa minit. Kemudian masukkan garam.

AYAM KICAP MANIS PEDAS
1/2 ekor ayam (gaul garam kunyit dan goreng sehingga kekuningan).

Bahan-bahan ditumbuk :
4 ulas bawang merah.
3 ulas bawang putih.
2 inci halia.
1 bawang besar, potong bulat.
2 tangkai cili hijau, dihiris.
2 tangkai cili merah, dihiris.
5 tangkai cili padi, diketuk.

2 sb sos tiram.
2 sb sos cili.
4 sb kicap manis.
1 sb minyak bijan ( minyak biasa pun boleh).
1 sk kicap pekat.
1 batang kayu manis.
1 kuntum bunga lawang.
Sedikit air.
Garam secukupnya.

Cara memasak :
Tumbuk lumat bahan-bahan.
Dalam mangkuk lain. Gaulkan sos tiram, sos cili, kicap manis, minyak bijan dan kicap pekat. Ketepikan.
Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumis kayu manis, bunga lawang, bahan-bahan yang ditumbuk dan cili padi.
Masukkan bahan yang dicampur sos dan kicap tadi. Tambah sedikit air dan sedikit garam. Kacau hingga mendidih.
Akhir sekali, masukkan bawang besar, cili hijau dan cili merah. Kacau sebentar dan campurkan ayam yang telah digoreng tadi.

KARI AYAM
1/2 ekor ayam
2 biji kentang
1 biji bawang besar
Setangkai daun kari
Bunga lawang, kayu manis dan buah pelaga
1 keping asam gelugor / satu sudu pes asam
1 kotak santan segera
Garam dan gula

Bahan-bahan ditumbuk :
4 ulas bawang putih
6 ulas bawang merah
2 inci halia

(Campurkan bahan tumbuk dengan 3 sudu besar rempah kari dan gaulkan)

Cara memasak :
Tumbuk kesemua bahan, gaul dengan rempah kari dan tumis dengan minyak di dalam kuali.
Masukkan rempah bunga lawang, kayu manis dan buah pelaga.
Masukkan ayam, tutup sebentar supaya masak.
Masukkan santan dan ubi kentang.
Selepas ubi kentang lembut, perasakan dengan garam, gula dan asam keping/pes asam.

AYAM MASAK HALIA
500 gram ayam dipotong kecil
4 ulas bawang putih, hiris nipis
2 cm halia, dihiris halus memanjang
1 sudu besar kicap cair
1 sudu besar sos tiram
1 biji bawang besar, hiris nipis membulat
1 biji cili merah, hiris nipis
1 tangkai daun bawang, hiris panjang 2cm cm
1 1/2 sudu kecil tepung jagung, bancuh dengan sedikit air
minyak masak, untuk goreng ayam
Sedikit lada sulah atau lada hitam
Sedikit garam, gula.

Cara memasak :
Panaskan minyak. Gaul ayam bersama garam dan kunyit kemudian goreng separuh masak. Angkat dan ketepikan.
Ambil sedikit minyak dari baki gorengan ayam tadi anggaran 1/2 senduk dan tumis bawang putih bersama halia sehingga naik bau. Masukkan kembali ayam yang digoreng separuh masak tadi..
Masukkan pula sos tiram, kicap cair, dan sedikit taburan lada putih. Kacau seketika (jaga jangan sampai bawang putih hangus).
Masukkan air bancuhan tepung jagung dan kacau sehingga kuah menjadi sebati dan pekat. Tambah sedikit lagi air jika anda suka lebih kuah.
Taburkan dengan cili merah dan bawang besar dan kacau selama 2-3 minit sebelum diangkat. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
Angkat dan tabur dengan daun bawang.