9 TIPS BAWA ANAK KECIL NAIK PESAWAT

INGIN bawa anak kecil berjalan-jalan menaiki pesawat, tetapi risau anak tak biasa atau meragam sepanjang perjalanan? Jangan risau, kami kongsikan 9 tips yang boleh anda praktikkan nanti.

  • Tukar lampin anak

Sebelum menaiki pesawat, pastikan anda telah menukar lampin atau pampers yang baru supaya mereka merasa selesa. Bukan sahaja kepada si anak, malah kepada penumpang yang lain juga supaya tidak terhidu bau yang tidak diingini.

  • Beri makanan sesuai

Jika bayi sudah boleh makan, beri mereka makanan yang tidak memualkan. Jika mereka baru bangun tidur, berikan susu.

  • Beri susu semasa take-off dan landing

Untuk mengelakkan bayi menangis kerana kurang selesa akibat perubahan udara, berikan mereka susu supaya ada pergerakan menelan air liur atau susu semasa take-off atau landing.

Ibu bapa juga boleh cuba menutup telinga bayi ketika berada di dalam dua situasi berkenaan.

  • Peluk bayi

Mungkin mereka tidak biasa atau terasa gayat, pastikan anda memeluk bayi supaya mereka rasa ‘selamat’.

  • Bawa selimut

Ada sesetengah syarikat penerbangan tidak menyediakan selimut kepada penumpang. Untuk lebih mudah, apa kata anda bawa sendiri selimut untuk kegunaan anak-anak ketika di dalam pesawat, apatah lagi dengan suhu di dalam pesawat agak sejuk.

  • Main dengan anak

Ibu bapa boleh bermain dengan anak terlebih dahulu sehingga mereka merasa penat dan akhirnya tertidur kerana keletihan. Apa kata bawa permainan yang bersaiz kecil dan menyeronokkan, seperti flash cards atau buku.

  • Pilih tempat duduk

Elak duduk di bahagian tengah jika anda menaiki pesawat bersama anak, lebih-lebih lagi jika perjalanan mengambil masa yang lama. Ini memudahkan anda keluar dan masuk.

  • Beg handcarry

Cuba pastikan satu beg yang dibawa masuk ke tempat duduk pesawat anda itu dilengkapi dengan pelbagai keperluan bayi, seperti lampin/pampers, tisu basah, makanan bayi, susu dan minyak angin bersaiz kecil

  • Booking kemudahan bassinet

Untuk kemudahan ibu bapa dan keselesaan anak, cuba ambil penerbangan yang ada bassinet atau baby cot seat. Ia amat membantu lebih-lebih lagi penerbangan yang mengambil masa yang lama.