7 AMALAN HARI RAYA YANG MAKIN DITINGGALKAN

PERASAN tak, ada banyak perbezaan dalam meraikan hari raya ketika di zaman kanak-kanak sehingga kita meningkat dewasa. Bila terkenang semua memori lama, confirm rasa rindu, kan? Seiring dengan peredaran zaman dan teknologi, ada beberapa perkara yang semakin ditinggalkan.

KAD RAYA
Kalau dulu, setiap kali bulan puasa, antara aktiviti yang paling dinanti apabila berkunjung ke pasar raya atau kedai buku adalah untuk membeli kad raya.

Boleh dikatakan setiap rakan, saudara-mara termasuk ibu ayah nak diberikan kad. Paling best, kalau kad itu ada background music raya, ataupun kartun lawak jenaka.

Malah, kad raya juga sering dijadikan hiasan ketika raya dengan digantungkan di dinding rumah, pintu utama dan di tingkap.

Sekarang amalan memberi kad sudah semakin berkurangan kerana ramai orang lebih gemar memberi ucapan raya melalui Whatsapp, Facebook dan pelbagai lagi aplikasi media sosial.

GOTONG-ROTONG MEMASAK, KEMAS RUMAH
Penulis masih ingat, ketika di usia kanak-kanak dan remaja, setiap kali balik kampung menjelang raya, kami sudah dibahagikan tugas. Yang muda akan mengemas rumah, susun atur cawan dan pinggan serta kuih raya, menyapu rumah, pasang langsir dan pelita dan tukar sarung kusyen.

Manakala mak, ayah, pakcik, makcik, datuk dan nenek pula sibuk di dapur memasak bersama-sama sehari sebelum raya untuk menyediakan lemang, rendang, ketupat, gulai dan sebagainya.

Ada juga di kalangan kami yang muda-muda ni cepat-cepat siapkan kerja rumah sebab tak sabar nak membantu di dapur.

Tetapi kini, mungkin kerana usia mereka yang semakin lanjut dan ada pelbagai pilihan makanan yang siap sedia dan segera, ia menjadi sebab mengapa amalan ini tidak lagi diteruskan.

PASANG PELITA BULUH ATAU MINYAK TANAH
Kalau dahulu, hari pertama puasa je terus excited nak pasang pelita keliling rumah. Seronok bila tengok cahaya api tu pada waktu malam. Sekarang, ramai orang suka pasang lampu lip-lap-lip-lap yang digantung di dinding.

LAWAN MERCUN, BUNGA API
Apabila dah berkumpul saudara mara, inilah aktiviti yang paling seronok dilakukan pada malam hari. Sebaik sahaja berbuka puasa dan menunaikan solat, kami mesti duduk berkumpul di luar rumah bermain mercun.

Dulu harga mercun dan bunga api amat murah dan senang didapati.

Bila main mercun ni boleh lawan dengan jiran dan kampung sebelah siapa yang paling kuat.

TUNGGU PENGUMUMAN RAYA DEPAN TV
Excited semuanya berkumpul depan tv semata-mata nak dengar pengumuman raya. Jeritan pasti bergema jika esok diumumkan raya. Pernah juga pengumuman raya jatuh pada lusa, semua buat muka sedih sebab kena puasa lagi sehari.

Kalau dahulu tarikh raya ditentukan dengan melihat anak bulan. Berbeza dengan sekarang, tarikh raya telah diketahui awal kerana menggunakan kaedah rukyah dan hisab.

BERSALAM, BERMAAFAN DI PAGI RAYA
Sesi sebegini agak sentimental kerana pastinya akan mengundang air mata dan sedikit drama, kan? Kita akan berkumpul di ruang tamu, dan mula bersalaman dengan ibu, ayah dan adik beradik.

Selepas bersalaman dan minta maaf, mesti ada duit raya!

Tapi kini, hari raya ‘meriah’ dengan sesi gambar ootd dan update di media sosial. Tak salah kalau nak kongsi momen raya dengan rakan-rakan, tetapi dahulukan keluarga, bila lagi dapat berkumpul sebegini, kan?

MALAM TUJUH LIKUR
Tujuh malam terakhir sebelum raya yang menyaksikan satu kampung dipenuhi dengan cahaya pelita di setiap rumah dan jalan raya. Dikatakan ini bagi memudahkan orang ke surau atau amsjid untuk menunaikan ibadah di akhir Ramadhan dan mengejar Lailatul Qadar.

error0