malam lailatul qadar

5 AMALAN DI MALAM LAILATUL QADAR

Alhamdulillah, sampai kita ke penghujung Ramadhan tahun ini dengan menghabiskan 10 malam terakhir bulan yang istimewa ini.

Sering diingatkan kepada setiap umat Islam untuk menggandakan amal ibadat kepada Allah SWT apatah lagi di tempoh yang dipanggil Lailatul Qadar inilah turunnya kitab suci Al-Quran.

Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Ad-Dukhon ayat yang ke 3 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan.”

Memetik satu hadis yang dikeluarkan oleh Imam Nasa’I, daripada Abu Hurairah telah berkata: “Ketika mana telah datang bulan Ramadan, telah bersabda Rasulullah SAW.

“Telah datang kepada kamu bulan Ramadan, bulan yang penuh keberkatan, telah difardukan Allah ke atas kamu untuk berpuasa, dibuka padanya pintu-pintu syurga, dan ditutup padanya pintu-pintu neraka, dirantai padanya syaitan-syaitan, padanya malam Lailatul Qadar sebaik 1,000 bulan, siapa yang terlepas daripada kebaikannya maka ia hilang kelebihan itu,” sabda Baginda.

Di bawah disenaraikan 5 amalan yang digalakkan pada 10 malam akhir Ramadhan :

  1. Membangunkan ahli keluarga seperti mana yang dilakukan oleh baginda Rasulullah. Daripada Aisyah: Adalah Rasulullah jika masuk pada malam 10 malam terakhir, maka ia akan menghidupkan malam-malam itu dan membangunkan ahli keluarganya dan akan menjauhi daripada membuat hubungan suami isteri.
  2. Bersedekah dengan keikhlasan kepada Allah. Ini kerana jika sedekah yang dilakukan itu bertepatan dengan malam Lailatul Qadar maka amalan sedekah itu juga akan dilipatgandakan lebih baik dari 1,000 bulan.
  3. Beriktikaf di dalam masjid dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah seperti solat, zikir, membaca al-Quran dan sebagainya. Ini kerana baginda Rasulullah akan beriktikaf ketika mana masuk 10 malam yang terakhir.
  4. Berdoa kepada Allah dengan meminta keampunan-Nya. Aishah pernah bertanya baginda Rasulullah apa yang perlu dikatakan pada malam Lailatul Qadar, maka kata Baginda: “Katakanlah, Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Engkau Maha Mulia dan suka kepada pengampunan maka ampunilah aku.
  5. Menghidupkan malam dengan mengerjakan ibadah solat serta membaca Al-Quran. Daripada Abu Hurairoh sesungguhnya Rasulullah SAW telah berkata yang bermaksud: “Sesiapa yang bangun malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan perhitungan (muhasabah diri), akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.