1MDB : KERAJAAN DAPAT BAYARAN PERTAMA LEBIH RM236.5 JUTA

MALAYSIA mendapat semula sejumlah besar wang yang dihantar Amerika Syarikat yang merupakan sebahagian bayaran pertama bagi dana diperoleh semula hasil daripada penyitaan aset-aset berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, pemindahan pertama dana yang dipulangkan sebanyak AS$57,036,688.68 (RM236,563,690.84) telah dikreditkan ke dalam akaun pemulihan aset 1MDB, sebuah akaun amanah yang dibuka secara khusus untuk tujuan itu.

“Jumlah ini disita daripada Red Granite Pictures, sebuah syarikat pembikinan filem yang berpengkalan di Amerika Syarikat (AS) yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anak tirinya, Riza Aziz.

“Ia lanjutan daripada penyelesaian sebanyak AS$60 juta yang direkodkan di Mahkamah California.

“Sejumlah AS$3 juta ditolak untuk membayar semula kos-kos yang telah dibelanjakan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk menyiasat, menyita dan memelihara Equanimity semasa kapal tersebut ditahan di perairan Indonesia sebelum dibawa ke perairan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

error0